3 Langkah Utama Untuk Ajar Anak Membaca Guna Kaedah Fonik

ajar anak membaca guna kaedah fonik

Sejuk je hati bila anak dah pandai membaca. Lagi-lagi bila kita sendiri yang ajar anak membaca. Nak lepaskan ke Darjah 1 pun dah tak risau anak ketinggalan.

Tapi bukan mudah proses untuk ajar anak membaca ni. Dan bukan sehari dua je anak terus boleh membaca.

Ibu bapa kena mainkan peranan penting supaya anak boleh kuasai kemahiran asas ni.

Kalau tersilap cara boleh buat anak stress dan tak suka belajar. Sedangkan asas kepada ilmu pengetahuan ialah membaca.

Kesilapan yang biasa dilakukan bila ajar anak kecil membaca:

1. Belajar mesti gunakan buku

Anak kecil banyak belajar melalui bermain. Sama juga keadaannya jika kita nak ajar anak membaca.

Selitkan aktiviti yang membolehkan mereka belajar membaca ketika mereka seronok bermain. Tak semestinya kena guna buku sahaja.

2. Masa terlalu lama

Anak kecil mempunyai daya fokus yang singkat. Hadkan waktu belajar dalam 2-5 minit sahaja setiap sesi.

Kemudian sambung dengan aktiviti belajar sambil bermain. Pastikan kita berhenti mengajar sebelum anak jemu.

3. Tidak sabar

Bila ajar anak sendiri, kita memang mudah geram. Ini disebabkan kita ada expectation yang tinggi terhadap anak kita.

Proses belajar membaca mungkin nampak mudah untuk kita tapi tak semestinya ia juga mudah untuk anak kita. Sabar dan beri anak kita lebih masa.

.

Saya nak share macam mana saya ajar anak saya membaca tanpa dia stress atau bosan. Saya pilih kaedah fonik Bacalah Anakku.

Langkah 1: Aktiviti Kesedaran Fonemik

Awal tahun 2016 saya bawa anak saya, Sarah berjumpa pakar kanak-kanak sebab risau dia masih tidak banyak bercakap.

Doktor tersebut beritahu Sarah ada sedikit ‘speech delay’ dan bagi panduan ringkas untuk ajar Sarah bercakap.

Balik rumah saya mula ajar sebut perkataan sepatah-sepatah.

Saya minta Sarah ikut saya sebut ‘ibu’. Dia cuma pandang saya tapi tak keluar apa-apa.

Sebelum-sebelum tu pun susah betul dia nak ikut apa yang saya cuba ajar sebut.

Saya pecahkan perkataan tu jadi suku kata. Sarah sebut ‘i’ dengan betul tapi ‘bu’ tu perlahan betul dia sebut.

Mungkin dia pun tak dapat dengar dengan jelas apa sebutan saya.

.

Saya pecahkan lagi suku kata jadi bunyi kecil. Kali ni saya sebut ‘i’, ‘beh’ dan ‘u’ dengan jelas sambil tunjukkan kedudukan lidah.

Lepas dengar dia dapat sebut betul, saya sambungkan terus ‘ibu’.

Sarah berjaya sebut dengan betul dan yakin. Masa tulah dia baru panggil saya ‘ibu’. Pada umurnya 3 tahun.

Lepas mendalami ilmu fonik baru saya tahu inilah yang dikatakan sebagai kesedaran fonemik.

.

Kesedaran fonemik ialah kita menyedari (aware) bahawa setiap perkataan terdiri daripada bunyi-bunyi kecil.

Dalam fasa ni kita perdengarkan kepada anak bunyi-bunyi asas dan latih anak untuk menyebutnya dengan betul.

Kemudian gabungkan bunyi-bunyi tu untuk membentuk perkataan bermakna.

Aktiviti ni dibuat secara lisan, tak perlu tunjuk huruf dulu. Saya ajar sambil Sarah melompat-lompat, main permainan dia.

Memang takdenya dia nak duduk diam masa tu.

.

Dalam fasa ni juga kita kena rajin bacakan anak buku. Tujuannya supaya kosa kata anak meningkat.

Jadi bila dia belajar membaca nanti, banyak perkataan yang dia dah pernah dengar. Pembelajaran akan jadi lebih mudah.

Langkah 2: Pengenalan bunyi paling kecil dan simbol yang diwakili

Bila Sarah dah familiar dengan bunyi-bunyi asas melalui sebutan saya dan lagu Abu Ada Ayam, baru saya tunjuk huruf menggunakan flash card.

Saya tunjuk pada Sarah huruf ini bunyinya ‘aa’, yang ini bunyinya ‘ii’. Tak perlu sebut nama huruf. Sarah tengok bentuk huruf dan ingat apa bunyinya.

membaca guna kaedah fonik
Saya buat buku mini untuk tarik minat Sarah suka buku.
membaca guna kaedah fonik
Bukunya nipis. Sekejap je dah habis baca. Saiznya pun sesuai dengan tangan Sarah.

Dalam buku Bacalah Anakku hurufnya tidak disusun mengikut turutan A sampai Z tapi disusun mengikut huruf yang mudah disebut.

Anak pun tak perlu ingat semua 31 bunyi asas dulu baru nak baca suku kata. Dalam buku Bacalah Anakku 1, ada 5 bunyi huruf diperkenalkan.

Dengan 5 huruf ni dah boleh ajar anak menggabung bunyi untuk membentuk perkataan bermakna.

.

Dalam fasa ni, banyak aktiviti boleh dibuat bersama anak. Tak semestinya kena guna buku dan flash card.

Tapi kita kena kenal dulu anak kita jenis visual, auditory atau kinestatik dan tahu apa yang dia suka. Lepas tu mudah untuk kita buat aktiviti bersama-sama.

Kalau nak cari idea aktiviti belajar sambil bermain boleh join FB Group Team GoPhonics.

Langkah 3: Menggabung bunyi

Part yang ini agak susah bagi saya. Berkali-kali saya tengok video cara untuk ajar anak menggabung bunyi.

Boleh tengok video di bawah.

Lama-lama barulah dapat diterima oleh otak saya yang dah sebati dengan kaedah mengeja.

.

Saya ajar Sarah ikut cara macam dalam video tu. Mula-mula memang susah sikit nak gabungkan dua bunyi tu jadi satu suku kata.

Bila kad yang digerakkan dah rapat sebelah-menyebelah Sarah masih tak gabungkan dua bunyi tu.

.

Jadi saya bagitahu macam mana kedudukan lidah dan bentuk mulut masa nak sebut tu.

Contohnya, /b/ jumpa /a/. Mulut standby nak keluarkan bunyi ‘beh’ (bibir rapat) dan terus nganga mulut untuk gabung dengan bunyi ‘aa’. Bunyi yang terhasil ialah ‘ba’.

/n/ jumpa /u/. Mulut standby nak keluarkan bunyi ‘en’ (lidah menyentuh lelangit) dan terus muncung untuk gabung dengan bunyi ‘uu’. Terhasillah bunyi ‘nu’.

.

Lebih kurang macam tulah saya ajar Sarah. Fasa ni sahaja makan masa 2-3 bulan untuk Sarah betul-betul faham.

Banyak juga aktiviti yang kami buat sebagai pengukuhan.

Bila dah mahir gabung bunyi untuk buku 1 dan 2, buku seterusnya dah jadi mudah. Saya cuma kenalkan bunyi baru dan Sarah dah boleh gabung sendiri.

Buku 3-5 Sarah boleh baca sendiri dengan sedikit bantuan dari saya.

membaca guna kaedah fonik
Antara aktiviti yag kami buat sebagai pengukuhan. Aktiviti lain kebanyakannya secara lisan sahaja.

Bila masuk buku 6, saya mula stuck sebab dah masuk fasa suku kata tertutup. Dekat sinilah baru kita tahu anak kita betul-betul faham gabung bunyi atau sekadar menghafal suku kata.

Saya mula banyakkan aktiviti lagi untuk pengukuhan gabung bunyi. Saya ulang-ulang banyak kali supaya Sarah tak lupa bunyikan huruf di hujung suku kata.

.

Contohnya perkataan ‘badan’. Sarah selalu baca ‘bada’ dan tertinggal bunyi ‘n’ dekat belakang. Untuk 3-5 muka surat pertama Buku 6 sahaja ambil masa 2-3 minggu.

Selepas berjaya melepasi fasa tu, Sarah dah boleh baca sampai habis Buku 6. Bukan setakat itu, tapi Sarah juga dah boleh baca buku cerita dan komik.

Hanya perlu dibantu sikit-sikit untuk membaca perkataan yang kompleks. Memang rasa sebak dan nak menangis masa ni.

membaca guna kaedah fonik
Latihan menulis perkataan yang dah dipelajari. Guna buku atau whiteboard sahaja.

Kesimpulan

Inilah 3 langkah penting macam mana saya ajar anak membaca guna kaedah fonik. Nampak macam tak banyak tapi prosesnya panjang.

Jangan skip mana-mana step untuk memudahkan proses pembelajaran. Tapi sesuaikan dengan karakter anak anda dan tahap kefahaman mereka.

membaca guna kaedah fonik
Aktiviti cop dan tampal sticker lepas baca buku. Nak bagi Sarah semangat nak membaca.

Dalam proses mengajar anak, tak kisahlah kita guna kaedah apa pun. Tapi fokusnya haruslah kepada perkara asas dulu dan kedua-dua pihak yang belajar dan mengajar haruslah enjoy.

Bukan anak je enjoy, ibu pun kena enjoy juga. Takdelah nanti ibu asyik bertukar jadi tarzan yang kelaparan.

Baca juga: 4 Perkara yang Saya Belajar semasa Ajar Anak Membaca

.

Nota: Kalau anda nak softcopy BBM yang saya guna dalam gambar di atas, boleh isikan email dan nama anda di bawah ya.

2 Replies to “3 Langkah Utama Untuk Ajar Anak Membaca Guna Kaedah Fonik”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge